Khairulrijal Sri Gading

Tagline : Malaysia Today / Malaysia Terkini / Utusan / Berita Hari Ini

Penulis “Does My Head Look Big In This” Perjuangkan Islam di Australia

Posted by Emg Trading & Services on 10 June, 2009

PEGUAM dan penulis, Randa Abdel-Fattah dari Australia, baru berusia 27 tahun namun beliau sudah pun melakar nama sebagai suara golongan muda Islam yang menjelaskan kebenaran mengenai agama yang sering disalah faham.

Antara isu yang dipeloporinya adalah pemakaian tudung bagi wanita Islam, pengganas, keadilan antara jantina dan hubungan antara agama.

Kaedah anak kepada pasangan dari Mesir dan Palestin itu mengupas isu-isu tersebut bukan melalui sesi berdakwah atau dalam arena politik, tetapi melalui penulisan dua buku fiksyen bersifat ringan bagi pembaca muda.

Buku-buku tersebut berjaya menerima sambutan hangat, bukan sahaja di Australia tetapi juga di seluruh dunia meliputi golongan muda dan dewasa.

Bukunya yang pertama berjudul Adakah Kepala Saya Kelihatan Besar Di Dalamnya? (Does My Head Look Big In This?).

Isu pemakaian tudung

Diterbitkan pada Ogos 2005, ia kini dicetak melebihi 50,000 naskhah dan memenangi Anugerah Buku Industri Australia bagi kategori buku terbaik untuk pembaca dewasa muda pada tahun berikutnya.

Ia mengisahkan ‘pengembaraan’ seorang gadis Islam warga Australia berusia 16 tahun apabila beliau membuat keputusan untuk memakai tudung.

Keputusannya itu dibuat tanpa paksaan ibu bapa atau rakan-rakannya tetapi atas kesedarannya sendiri.

Topik tersebut menjadi pilihan anak kelahiran Melbourne itu kerana pada waktu itu, katanya, ramai warga Australia menganggap pemakaian tudung di dalam Islam merupakan penindasan yang dipaksa ke atas wanita.

‘‘Mereka tidak faham bahawa ia merupakan pilihan peribadi yang dibuat oleh pemakai itu sendiri.

‘‘Ini tidak pula dibantu oleh persepsi salah yang disogokkan oleh industri Hollywood yang mana Islam dihubung kait dengan keganasan dan maklumat salah yang lain,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Randa yang merupakan lulusan ijazah sarjana muda undang-undang dan kesenian dari Melbourne University berada di sini untuk menyertai Festival Sastera Kuala Lumpur 2007.

Beliau yang merupakan anggota beberapa kempen hak asasi manusia Palestin, Majlis Arab Australia dan rangkaian wanita Islam Australia, turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

‘‘Jadi, saya rasa cara terbaik menangani fenomena ini ialah dengan menghasilkan buku yang membenarkan orang ramai melangkah masuk ke dalam kehidupan seorang gadis Islam Australia, bukan dengan nada berdakwah.

‘‘Saya menulis sebuah buku yang kelakar mengenai kehidupan orang muda Islam, tanpa mengetepikan isu-isu serius,’’ katanya.

Dalam buku itu, kata Randa, beliau mengutarakan peranan hak wanita dalam Islam dengan mendedahkan pembaca kepada cara watak utamanya, Amal, membuat keputusan memakai tudung.

Isu pengeboman di Bali

Buku itu, katanya, turut menyentuh isu pengeboman di Bali, Indonesia yang mengorbankan banyak warga Australia sebelum buku itu diterbitkan.

‘‘Saya masukkan fakta ini untuk menunjukkan pendirian sebenar orang Islam terhadap perbuatan terkutuk itu,’’ ujarnya.

Beliau turut mengetengahkan isu hubungan antara agama, iaitu bagaimana manusia berhubung dengan manusia lain.

Ini adalah berdasarkan pengalamannya sendiri bersekolah di sebuah sekolah rendah Katolik sebelum memasuki sebuah kolej Islam, Akademi Antarabangsa Australia di mana beliau memperoleh International Baccalaureate.

Beliau turut aktif dalam kerja-kerja antara agama seperti Kumpulan Persahabatan Wanita Palestin/Yahudi.

Buku tersebut benar-benar membawa kesan kepada kesedaran golongan bukan Islam sehingga ia menjadi sebahagian daripada kurikulum sekolah di Australia, New Zealand, United Kingdom dan Sweden.

Randa berkata, meskipun beliau tidak menjangka buku sulungnya itu akan menerima sambutan sebegitu hebat, ia membuktikan bahawa isu-isu berkaitan Islam merupakan topik panas.

Apa yang lebih penting, kata Randa, ialah bukunya itu telah membuka mata ramai pihak kepada pemahaman yang berbeza mengenai Islam.

Kesimpulan ini, katanya, diraih melalui surat-surat yang diterima dan lawatannya ke sekolah-sekolah.

‘‘Dahulu mereka tidak tahu bahawa ada pilihan dan tidak ada paksaan dalam pemakaian tudung.

‘‘Sekarang mereka tahu bahawa seorang gadis masih boleh berseronok dan boleh memakai tudung dalam pelbagai warna kerana maklumat ini disampaikan dalam cara yang ringan dan lebih menarik,’’ ujarnya.

Apabila ditanya sama ada pendekatan sebegini penting untuk pemupukan pemahaman Islam yang lebih mendalam di masa hadapan, beliau berkata:

‘‘Ya, ia mesti dilakukan melalui bidang kesenian dan kesusasteraan kerana apabila ia menghiburkan, ia boleh mengubah hati dan pemikiran manusia.

‘‘Mereka juga akan kurang merasa syak wasangka kepada niat kita kerana kita tidak ‘memukul’ fakta ke dalam kepala mereka tetapi kita memperkenalkan mereka kepada dunia kita.’’

Buku itu kini dijual di kedai Popular, MPH dan Silverfish Books pada harga RM42.90.

Selepas kejayaan buku pertamanya, beliau mendalami pula isu layanan berbeza ke atas anak lelaki dan anak perempuan yang selalu diamalkan dalam keluarga Islam di dalam buku berjudul Sepuluh Perkara Saya Benci Mengenai Diri Sendiri (Ten Things I Hate About Me).

Buku yang mula dijual di Australia dan New Zealand sejak Ogos tahun lalu, kata beliau, mahu menunjukkan bahawa di dalam Islam, tidak ada standard berbeza untuk lelaki dan perempuan.

Isu gender

‘‘Selalunya di dalam keluarga Islam di Australia, anak perempuan dikenakan pelbagai kawalan seperti tidak boleh keluar ke kedai atau ke sekolah walhal akhirnya anak lelaki yang diberi kebebasan itu yang terlibat dengan najis dadah dan sebagainya.

‘‘Islam sebenarnya tidak membenarkan standard berbeza untuk lelaki dan perempuan. Saya mahu menunjukkan bahawa terdapat keadilan dalam aspek ini,’’ ujarnya.

Buku tersebut turut menerima sambutan hangat dan akan dijual di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Meskipun kini semakin sibuk bukan sahaja dengan tugasnya sebagai peguam di Lauder and Rogers tetapi juga menjaga anak perempuannya yang baru berusia 15 bulan, Randa tetap dengan usahanya mempelopori penulisan mengenai Islam.

Isu Palestin

Kali ini, subjek bukunya jauh lebih berat kerana ia menyentuh topik yang tidak pernah gagal meninggalkan kesan perit dalam hati setiap umat Islam iaitu Palestin.

Randa sekali lagi menggunakan kaca mata seorang gadis muda tetapi nada cerita ini tidak mungkin seiringan buku-bukunya yang terdahulu.

Ia mendalami kesan pencerobohan Israel ke atas hidup gadis itu dan rakan-rakan senegaranya, kali ini untuk pembaca dewasa.

Beliau menegas, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mewujudkan kesedaran tentang ketidakadilan di Palestin, khususnya di Australia yang merupakan rakan terbaik AS.

‘‘Tahap kesedaran warga Australia mengenai Palestin adalah amat memeranjatkan dan ini merupakan sumbangan saya untuk meningkatkan tahap tersebut,’’ ujarnya.

Pencerobohan Israel, tegas beliau, perlu berhenti segera kerana ketidakadilan yang berlaku sepanjang pencerobohan paling lama itu adalah menjijikkan dan menjejaskan kehidupan seharian pada tahap paling teruk.

‘‘Penindasan dan pembunuhan maruah manusia adalah bentuk ketidakadilan paling teruk,’’ kata beliau.

Apabila ditanya sama ada latar belakang keluarganya mendorongnya untuk menulis buku itu, beliau berkata, ia tidak terhad kepada sebab itu.

‘‘Ia lebih kepada isu hak asasi manusia kerana ia bukan hanya terhad kepada satu agama. Ia menjejaskan orang Islam dan Kristian di Palestin,’’ katanya.

Randa bukan sahaja mempunyai ibu yang berasal dari Palestin tetapi juga menamatkan zaman bujangnya empat tahun lalu bersama seorang lelaki warga Australia berketurunan Palestin.

Menurut Randa, meskipun buku itu berbentuk fiksyen, ia banyak berdasar kepada pengalamannya sendiri melawat Palestin dalam tahun 2000, maklumat daripada sumber-sumbernya di situ dan daripada Internet.

Tulisan asal bertajuk “Menjelaskan realiti Islam” Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN (WARTAWAN UTUSAN)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: