Khairulrijal Sri Gading

Tagline : Malaysia Today / Malaysia Terkini / Utusan / Berita Hari Ini

Usul Sisters in Islam

Posted by Emg Trading & Services on 15 June, 2009

Oleh Khalid Samad

Kebelakangan ini banyak yang disebut berhubung persoalan usul Sisters in Islam. Oleh kerana ianya merupakan usul yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Shah Alam yang bersidang pada 12 April 2009, saya kira adalah wajar penjelasan lanjut diberikan bagi menghuraikan isu ini.

 

Setelah mesyuarat Dewan Muslimat tersebut, usul ini seterusnya telah di bawa ke Mesyuarat Tahunan PAS Kawasan Shah Alam yang bersidang pada 19 April. Oleh kerana tahun ini tahun pemilihan dan perjalanan mesyuarat kurang mengizinkan, maka akhirnya semua usul-usul yang dibawa untuk perbahasan di Mesyuarat Tahunan tersebut di serahkan kepada AJK Kawasan untuk membincang dan memutuskan kedudukannya. Tindakan ini dicadang oleh salah seorang perwakilan dan diterima didalam Mesyuarat.

Seterusnya pada 23 April 2009 jam 9.00 malam mesyuarat AJK kawasan diadakan dan usul-usul dibincang. Pada masa itu saya telah membaca usul Dewan Muslimat Kawasan dan saya menyatakan usul ini perlu diubah ayat-ayatnya kerana kelihatan agak keras dan cenderung kepada penggunaan kuasa. Usul itu perlu menzahirkan kecenderungan PAS untuk berbincang, berhujjah dan berinteraksi, bukan menghukum, mengharamkan atau menyekat dan menahan, jelas saya lagi. Ahli mesyuarat bersetuju dan usul itu dikembalikan untuk diubah.

Saya menegur susunan ayat tersebut kerana sikap yang mementingkan usaha dakwah dan bukan menghukum adalah sikap yang lebih menepati kaedah Islam. Ini kerana kita semua tahu ayat 125 Surah An-Nahl yang bermaksud :

“Serulah kepada jalan Tuhan mu secara hikmah dan contoh dan kata-kata yang baik dan berhujjahlah dengan mereka dengan cara yang terbaik…”

Ayat ini jelas memberikan penekanan kepada persoalan hikmah atau kebijaksanaan, contoh dan kata-kata yang baik serta penghujjahan secara yang terbaik. Ianya merupakan kaedah-kaedah yang menekankan ‘persuasion’ atau ‘usaha mengajak dan meyakinkan’ dan bukan kaedah ‘coercion’ atau paksaan.

Sambil itu kita juga melihat bagaimana dalam sejarah Islam telah wujud banyak ketika di mana fahaman-fahaman yang menyeleweng telah muncul dan bagaimana penyelewengan ini telah dihadapi oleh para Alim Ulama’ Islam dengan penerangan, pengupasan dan penghujjahan yang tepat dan padu. Kisah hidup Imam Al-Ghazali (RahimahuLlah) di mana beliau berhadapan dengan golongan ahli falsafah yang terpengaruh dengan falsafah Yunani termasuk Aristotle dan golongan Batiniyyah telah diketahui umum. Imam Al-Ghazali telah mengarang kitab-kitab seperti ‘Maqasid Al-Falaasafah’, ‘Tahaafut Al-Falaasafah’ dan sebagainya untuk memerangi pemikiran ini. Begitu juga beliau mengarang ‘Al-Mustaz’hiri’ untuk mendedahkan penyelewengan golongan Batiniyyah.

Usaha untuk memaksa ummat Islam berpegang kepada satu fahaman pernah dilakukan pada zaman Khalifah Al-Mu’tasim. Pada masa itu golongan Mu’tazillah yang berkuasa dan dengan sokongan Al-Mu’tasim, mereka berusaha untuk memaksa ummat Islam menerima fahaman mereka. Berlakulah kisah penjara dan sebat ke atas Imam Ahmad Ibn Hambal. Adalah amat jelas, mereka ini bukan contoh ikutan kita.

Berdasarkan hujjah-hujjah sebegini maka dipersetujui untuk usul itu diubahsuai. Malangnya ianya tidak dilakukan dan apabila tiba masa untuk menyerahkan usul-usul kepada PAS Pusat, bentuk yang asal telah diserahkan.

Pindaan yang dicadangkan oleh saya dan diterima oleh mesyaurat pada malam itu tidak menafikan bahawa ada banyak yang kita tidak setuju dengan pendirian Sisters in Islam. Ada yang kita rasa jelas bercanggah dengan syariat itu sendiri dan kita masih tetap berpendirian begitu. Namun apa yang penting ialah soal cara atau ‘uslub’ dakwah yang bersesuaian dengan Islam, bersesuaian dengan kaedah menerang, mengupas, berhujjah dan meyakinkan pihak pendengar. Bukan menghukum dan menggunakan kekuasaan untuk menyekat dan memaksa.

Petang semalam, pada jam 2 petang 14 Jun, telah diadakan satu sidang media di mana perkara ini telah cuba saya jelaskan. Walaubagaimanapun, saya tidak tahu apa yang akan tersiar pada pagi ini dan apa pandangan masyarakat terhadap penjelasan yang telah dibuat semalam. Namun biarlah saya mengaku tersilap dari cuba menutupnya dan dengan mengaku kesilapan ini dapat membuka ruang untuk membuat penjelasan sejelas-jelasnya berhubung sifat dan kaedah Islam membawa perubahan di dalam sesebuah masyarakat. PAS tidak cenderung kepada paksaan dan pengharaman, tetapi cenderung kepada perbahasan dan penerangan!

Kesilapan saya adalah tidak menentukan usul itu diubahsuai sebelum ianya dihantar dengan usul-usul lain ke pihak Pusat. Hakikatnya, saya pun sebenarnya terlupa perkara ini sama sekali sehinggalah ianya ditimbulkan pada hari terakhir Muktamar oleh seorang pemberita. Pada hari itu barulah saya teringat kembali akan isu usul berkanaan dan bagaimana ianya sepatutnya diubahsuai.

Ada pula yang bertanya, “Adakah perlu tuan meminta maaf kepada Sisters in Islam?” Saya menjawab kalau perlu saya meminta maaf, ianya adalah kepada PAS kerana telah memberikan peluang pihak lawan memburuk-burukkan kita dengan tuduhan-tuduhan ‘cenderung memaksa’.

Seterusnya PAS Shah Alam akan menulis kepada PAS Pusat untuk menjelaskan bahawa usul tersebut adalah berbentuk asal sebelum diubahsuai. Pengubahsuaian perlu supaya menjelaskan kehendak sebenar yang ingin dibawa, iaitu supaya Majlis Fatwa Kebangsaan menyelidik dan mengkaji pendirian Sisters in Islam berhubung beberapa isu dan membetulkannya sekiranya didapati bertentangan dengan syariat Islam melalui proses perbahasan dan pengupasan yang jelas dan meyakinkan semua pihak. Persoalan pengharaman dan pemulihan ahli tidak merupakan matlamat disebalik usul berkenaan.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: