Khairulrijal Sri Gading

Tagline : Malaysia Today / Malaysia Terkini / Utusan / Berita Hari Ini

Feminisme Islam, Kebangkitan Perjuangan Hak Muslimah

Posted by Emg Trading & Services on 31 July, 2009

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Feminisme Islam, gerakan yang memperjuangkan dan menegakkan hak-hak wanita sebagaimana termaktub di dalam Al Quran dan sunnah Nabi Muhammad adalah satu kebangkitan yang akan membawa lebih banyak kebaikan kepada wanita Islam.

Prof Adjung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Mehrun Siraj berkata Islam memperuntukkan hak-hak bagi wanita dan mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.

“Namun begitu, masih banyak negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, wanita tidak mempunyai hak-hak berkenaan dan di beberapa negara, mereka dinafikan hak sama sekali, sehingga menimbulkan salah anggap bahawa Islam mendiskriminasi kaum wanita,” kata beliau.

Beliau berkata banyak perkara perlu dilakukan bagi memastikan wanita memperoleh hak-hak yang diberikan Islam dan mereka tidak lagi menderita kerana ketidakadilan pentadbiran undang-undang Islam atau dasar tidak bijak ekoran pemahaman Islam yang rendah.

Katanya adalah penting bagi kedua-dua kaum lelaki dan wanita, dan bukan hanya wanita, untuk berusaha memperbaiki martabat wanita dalam masyarakat.

“Sama ada aktivis itu bersetuju digelar sebagai pejuang hak-hak wanita Islam, feminisme Islam adalah sebenarnya satu kebangkitan yang akan membawa banyak kebaikan kepada wanita Islam,” kata beliau semasa membentangkan kertas kerja pada persidangan antarabangsa mengenai “Umat Islam dan Ruang Ilmu Abad ke-21: Isu, Prospek dan Cabaran” anjuran Instut Kefahaman Islam (IKIM) di sini.

Mehrun berkata pejuang hak-hak wanita Islam memperjuangkan kesaksamaan gender dan keadilan sosial rangka kerja Islam.

Katanya walaupun sebilangan pejuang hak-hak wanita Islam mencadangkan penafsiran semula Al Quran, kebanyakan pejuang berusaha melaksanakan perkara yang telah dipersetujui.

Gerakan pejuang hak-hak wanita Islam moden bemula pada abad ke-19, tetapi sebelum itu sudah wujud lama akan kebangkitan feminisme dan ramai individu yang bangkit menyuarakan hak-hak wanita dan berusaha meningkatkan martabat kaum itu di dalam masyarakat,” kata beliau.

Dalam kertas kerja beliau itu, Mehrun turut membincangkan tindakan beberapa individu seperti Asra Nomani, yang mengemukakan Rang Undang-undang Hak-hak Wanita Islam di Dalam Masjid, dan Amina Wadud, yang mengimamkan sembahyang jemaah lelaki dan wanita di New York, untuk menilai sejauh mana perjuangan sedemikian diperlukan sehingga menimbulkan kontroversi besar.

“Usaha pejuang hak-hak wanita seumpamanya itu saya anggap tidak berfaedah untuk diteruskan kerana jika sekalipun ia berjaya, berapa ramai wanita yang benar-benar mahukannya,” kata beliau.

“Akibat perjuangan seumpamanya, ia menyebabkan isu-isu lain di dalam rang undang-undang hak asasi terlepas pandang, misalnya wanita mempunyai hak dalam Islam untuk dihormati, mendapat layaanan dan tidak menjadi bahan gossip dan fitnah, memiliki hak untuk turut serta dalam kegiatan perkumpulan jemaah.

“Saya pasti ramai wanita akan bersama-sama saya untuk mengesahkan dan memperjuangkan hak-hak ini,” kata beliau.

Mehrun berkata sementara masyarakat memerlukan pejuang-pejuang hak wanita Islam bagi membela kaum wanita daripada ditindas, perjuangan berkenaan hendaklah bagi mendapat hak-hak dan benar-benar memberi kelainan dalam kehidupan wanita.

Menyentuh tentang gerakan memperjuangkan hak-hak wanita di negara ini, Mehrun menyentuh mengenai kempen anti poligami yang dilakukan Sisters in Islam, satu pertubuhan bukan kerajaan yang banyak membangkitkan isu-isu berkaitan status wanita.

Tokoh akademik itu berkata kempen anti poligami yang bertujuan meringankan beban dan penderitaan wanita dan anak-anak akibat perkahwinan poligami tidak melihat kepada banyak perkahwinan poligami yang berjaya dan membahagiakan kerana lelaki memahami hak dan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata banyak perkahwinan monogami pula menyaksikan wanita dan anak-anak menderita kerana lelaki tidak bertanggungjawab.

“Bagi saya, kempen sepatutnya mengarah kepada mendidik kaum lelaki supaya menjadi suami dan ayah yang bertanggungjawab. Ini akan membantu ramai wanita yang menderita dalam perkahwinan sama ada monogami atau poligami,” kata beliau.

Katanya apabila menghendaki sesuatu pembaharuan, hendaklah dipastikan apa yang diperjuangkan itu tidak menimbulkan penderitaan atau beban kepada kumpulan yang lain.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: