Khairulrijal Sri Gading

Tagline : Malaysia Today / Malaysia Terkini / Utusan / Berita Hari Ini

Isu JK Disiplin : Sebenarnya orang masih sayangkan PAS

Posted by Emg Trading & Services on 6 February, 2010

Dunia PAS mutaakhir ini sering bergelora. Ombaknya beralun dek kemenangan yang tidak diduga pada PRU12 Mac 2008. Kira-kiranya dah agak tenang selepas gelora UG tapi ramai yang meramalkan akan bergelora kembali selepas keputusan JK Disiplin PAS diumumkan. Ternyata ramalan tersebut menjadi kenyataan.

Ramai juga yang bertanya saya mengenai keputusan JK Disiplin tapi saya berdiam diri. Cuma.. bertambah ramai yang bertanya pandangan apabila mereka membaca luahan Abdullah Karim dalam blog. Orang bertanya saya mungkin atas dasar Pengerusi JK Disiplin adalah PJ Pahang dan Abdullah Karim juga Ahli Badan Perhubungan PAS Pahang merangkap Penasihat/Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pahang(meletak jawatan pada 30.1.2010 kerana menemani isterinya di Scotland). Dan kebetulan saya pula diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Saya hanya mampu berkata “hormatilah dan akurlah dengan keputusan JK Disiplin pimpinan Dato’ Tuan Ibrahim (DATI) dan hormatilah jua pandangan Abdullah Karim, seorang anak muda yang mungkin suatu hari nanti amat berguna mewarisi kepimpinan parti”.

Saya telah membaca luahan DATI dalam blognya. Ya.. DATI adalah seorang yang baik dan jiwanya lembut. Kalau beliau menyatakan bahawa pada awalnya beliau menolak amanah sebagai Pengerusi JK Disiplin maka sesungguhnya penolakannya itu saya yakin kerana jawatan itu tidak sesuai dengan jiwanya. Beliau memang seorang yang mudah mesra dengan semua orang hatta dengan kanak-kanak. Bagi saya menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada DATI boleh dianggap satu yang tak wajar. Meletakkan sesuatu, tak kena pada tempatnya adalah zalim namanya. Tapi akhirnya amanah itu terpaksa dipikulnya jua mungkin atas kapasitinya sebagai Naib Presiden.

Saya mengenali DATI sejak kecil. Kami sekampung dan pernah berada satu sekolah tapi berpisah bilamana saya menyambung ke Al Azhar, beliau ke UKM. Rumah beliau depan rumah saya. Bahkan kami ada pertalian keluarga menerusi perkahwinan. Jadi..hubungan kami boleh dikatakan rapat. Sebab itu saya berani bercakap ‘sikit-sikit’ mengenai dirinya.

Apabila beliau diamanahkan supaya mengadili kes Dato’ Hasan Ali dan YB Khalid Samad, dalam hati saya berkata ‘Kesian kat DATI’. Tentu beliau sukar untuk berdepan dengan dua insan tersebut kerana seorang daripadanya adalah rakan dalam Forum Perdana dan seorang lagi sahabatnya. Saya pernah juga melontarkan kepada sahabat yang lain kenapalah PAS tidak memilih orang yang berkecuali untuk menjadi Pengerusi JK Disiplin yang terdiri daripada veteran parti seperti Ust Hasan Syukri, Dato’ Mutalib Embong, Dato’ Umar Muhamad dan seumpamanya. Rupa-rupanya perlembagaan PAS mensyaratkan Pengerusi JK Disiplin mesti dari kalangan AJK PAS. Maka saya amat bersetuju dengan cadangan DATI agar Pengerusi JK Disiplin diambil dari orang luar daripada AJK PAS Pusat. PAS Pusat kenalah segera buat pindaan perlembagaan.

Atas dasar pengetahuan saya tentang sifat DATI maka saya amat bersimpati pada beliau yang menjadi ‘objek’ serangan rasa tidak puas hati pencinta PAS terhadap keputusan JK Disiplin dalam kes Dato’ Hasan Ali & YB Khalid Samad. Saya yakin keputusan itu bukan keputusan beliau seorang. Semestinya keputusan yang telah disepakati oleh JK yang lain. Tapi… adab beroganisasi maka baik buruk akan dipertanggungjawabkan pada ketua.

Kadang-kadang anak jahat, ayahlah yang dipandang buruk. Anak baik dan cemerlang ibubapanyalah yang dipandang mulia. Pencapaian cemerlang pelajar dalam peperiksaan SPM dan seumpamanya akan menyebabkan nama pengetua akan dijulang sedangkan yang bertungkus lumus mempastikan kejayaan itu ialah guru-guru dan anak murid yang akan mengambil peperiksaan. Bahkan akan memberi kredit kepada pengetua untuk cepat naik pangkat. Sebab itu di negara bermaruah seperti India, Jepun dan seumpamanya, kereta api tergelincirpun pasti menteri yang bertanggungjawab akan meletak jawatan. Padahal menteri tak reti pun hal kereta api. Tengok keretapi pun seram macam tengok hantu. Tapi dah keretapi tergelincir kerana hujan atau drebarnya cuai maka ketuanyalah yang dipersalahkan.

Dalam kes ini saya yakin DATI telah bersepakat dengan JK yang lain untuk memutuskan begitu. Sepanjang saya terlibat dalam Anggota Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP), saya sempat melalui 2 kali pilihanraya (2004 & 2008).

Semasa era DATI jadi PJ, saya dan anggota BPPNP amat berpuashati apabila semua calon-calon diputuskan bersama oleh Anggota BPPNP. Bahkan seingat saya lebih dari 3 kali dibuat semakan dan pindaan setiap calon yang akan bertanding dalam pilihanraya 2008 tempohari. Sedangkan sebelum ini mengikut ‘orang lama’, pemilihan calon biasanya diputuskan oleh pimpinan tertentu sahaja. Ini menunjukkan DATI cukup berhati-hati dalam membuat keputusan yang melibatkan jamaah.

Walaupun keputusan dibuat secara ‘bersama’ dengan JK yang lain namun DATI tak terlepas dari serangan oleh mereka yang tak berpuas hati. DATI kena menerima hakikat bahawa itulah nasib menjadi ketua.

Menyedari hakikat bahawa ketua akan dipuji atau dikeji bila membuat sesuatu keputusan maka ketua seharusnya menggunakan sedikit kuasanya untuk mengemukakan pandangannya sebelum membuat apa-apa keputusan. Mungkin kesilapan kerana tidak ‘menjatuhkan hukuman yang berat’ lebih baik jika dibandingkan dengan ‘menjatuhkan hukuman yang berat’meskipun ianya betul.

Dalam kes ini, saya dapat rumuskan bahawa ramai yang tidak puas hati dengan keputusan JK Disiplin kerana mereka yang dilihat menggongcangkan Pakatan Rakyat, dikenakan hukuman ringan manakala yang cuba memperkemaskan hubungan PR dikenakan hukuman yang berat. Sedangkan Tok Guru Nik Aziz pula memandang berat kes ahli atau pimpinan PAS yang cuba hendak melemahkan PR sehingga beliau mencadangkan EGM diadakan. Tok Guru kelihatan tegas terhadap mana-mana ahli atau pimpinan yang mengkhianati ikatan PR. Ketegasan beliau boleh dilihat apabila Tok Guru menunjukkan kepada 3 pemimpin supaya dibei perhatian dan diambil tindakan (tak perlu disebut namanya). Tegas Tok Guru ni samalah dengan tegasnya Allah swt terhadap orang yang berdosa terhadap hambanya yang lain. Allah swt boleh berlembut bila melihat kepada dosa hamba denganNya. Tapi… Allah swt tidak boleh bertolak ansur bila hambanya mempunyai kesalahan dengan orang lain. Artinya kesalahan ahli dengan rakan dalam PR (orang luar) adalah lebih besar jika dibandingkan dengan kesalahan ahli dalam partinya sendiri.

Kegagalan menjaga erti ‘setiakawan’ dalam PR akan memberi impak negatif yang besar kepada PAS. Orang akan kata PAS tidak boleh dipercayai. Oleh kerana PAS membawa imej Islam maka Islam akan turut sama tercemar dan kelihatan hodoh.

Fenomena ketidakpuasan hati ini menjadi lebih hangat apabila Abdullah Karim menulis. Bagi saya..tindakan beliau dan siapa jua yang menegur dan mengkritik PAS, sebenarnya melambangkan betapa sayangnya beliau dan mereka-mereka itu kepada PAS. Kritikan dan teguran masakini pula amat sukar untuk diasuh dan di’etika’kan kerana zaman telah berubah. Dulu orang tegur ‘depan-depan’. Tapi… sekarang lain. Zaman sekarang adalah zaman internet, zaman orang menegur dengan jari yang diketuk pada laptop atau komputer lalu terus keluar di dalam blog lantas menembusi alam maya sampai ke Mexico, Jepun, Algeria, Mesir, China, India dan seumpamanya.

Cumanya.. kita harus memandang kepada potensi anak muda yang bernama Abdullah Karim. Setahu saya beliau orang yang tiada berkepentingan dalam parti. Pada PRU Tahun 2008, saya selaku YDP PAS Jerantut mewakili PAS Kawasan Jerantut telah menawarkan kepada beliau untuk bertanding di DUN Tahan (DUN yang mana PAS pernah menang pada 1999) namun beliau menolak walaupun ayahnya adalah seorang guru yang dikenali di DUN tersebut. DATI yang mewakili BPPNP juga pernah menawarkan kepada beliau untuk bertanding di Parlimen Temerloh dan beberapa tempat yang lain tetapi beliau tetap juga menolak.

Jadinya… kritikan beliau saya anggap satu kritikan yang datang dari seorang yang sayangkan PAS dan beliau harus diberi perhatian dan asuhan agar ia menjadi pemimpin PAS di masa akan datang. Janganlah menganggap beliau seperti buah kelapa yang busuk seperti yang disebut oleh seorang pemimpin Dewan Pemuda.

Walau apapun, saya ingin mengesyorkan agar dapatlah kiranya ‘Orang Tua’ dalam parti yang bertaraf ulama’ mendamaikan dan mengharmonikan suasana yang menyempitkan dada ini. Bukankah kita menyatakan Islam adalah penyelesaiannya. Kalau ini pun kita tak mampu nak selesaikan maka apakah Islam yang tak lengkap atau kita yang tak cekap.

Mudah-mudahan Allah swt menyelamatkan PAS dari terus menerus dilanda fitnah dalaman.

Dr Hamzah Jaafar,
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

sumber – harakahdaily

One Response to “Isu JK Disiplin : Sebenarnya orang masih sayangkan PAS”

  1. ibni-baittutah said

    Penlibatan JK Displin ini sebenarnya memang bagus. Tapi maksud yang saya utarakan adalah buat masa sekarang dan keadaan politik sekarang ini, sepatutnya tindakan kepada sesetengah individu politik parti ini, tidak boleh diambil tindakkan.
    ebabnya yang nyata isu-isu penglibatan mereka bukan lah soal Akidah dan w’ala perjuangan, tetapi ianya tidak berkaitan langsung soal prinsip dan undang-undang parti.
    Jika benar yang hendak di sabitkan dengan undang-undang parti, ianya mestilah soal berkaitan pelangaran dan kesalahan berkaitan moral, akidah rosak dan sebagainya. Jika ia perbalahan atau perselisihan pendapat, dan isu itu bukan datangnya dari parti sendiri, ia amat rugi dan memalukan parti sendiri. Di sebaliknya pandangan dan sokongan dari rakyat akan terjejas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: