Khairulrijal Sri Gading

Tagline : Malaysia Today / Malaysia Terkini / Utusan / Berita Hari Ini

Murid antara maut dalam tiga kemalangan

Posted by Emg Trading & Services on 21 August, 2010

BATU PAHAT 20 Ogos – Seorang budak berusia 12 tahun maut apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori 10 tan di Kilometer 91 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, semalam.

Mangsa merupakan salah seorang daripada tiga orang yang maut dalam tiga kemalangan berasingan di daerah ini yang berlaku dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Ketua Trafik Daerah, Asisten Supritendan Razali Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa, Shahidan Hashim yang menunggang motosikal Honda EX5 telah berlanggar dengan sebuah lori yang tidak membawa muatan.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kampung Sri Desa, Ayer Hitam maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan alat sulit.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua pihak terutamanya ibu bapa supaya tidak membenarkan anak-anak menunggang motosikal jika tidak mempunyai lesen

Gambar Hiasan – Contoh kejadian kemalangan ngeri motosikal di KM 447 Lebuhraya PLUS dari arah Rawang / Ipoh baru-baru ini.

“Saya dapati banyak kemalangan di daerah ini melibatkan budak sekolah yang tiada lesen memandu.

“Siasatan akan dijalankan terhadap pemilik motosikal dan ibu bapa mangsa kerana membenarkan anak di bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen kerana ia juga adalah satu kesalahan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Razali berkata, mereka yang membenarkan individu berusia kurang daripada 16 tahun menunggang motosikal tanpa lesen boleh didakwa di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Menurut beliau, polis mengambil keterangan pemandu lori berusia 48 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu.

“Berdasarkan keterangan pemandu lori itu, murid tersebut datang dari arah Ayer Hitam manakala dia dalam perjalanan dari Machap ke Kluang,” katanya.

Selang kira-kira lima jam kemudian, seorang wanita maut setelah motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori yang dipandu ahli keluarganya di Jalan Parit Gantung, Sri Merlong, Rengit.

Razali berkata, ketika kejadian, tayar motosikal mangsa, Milah Ali, 61, dikatakan pancit di jalan kampung tersebut yang sempit dan lori berkenaan berada di belakangnya.

“Berdasarkan keterangan pemandu lori lelaki yang berusia 42 tahun itu, mangsa kemudiannya menunggang ke tepi dan menyuruhnya memotong.

“Bagaimanapun mungkin kerana keadaan tayar motosikalnya yang pancit, wanita itu sukar mengawal motosikal dan menyebabkan ia bergesel dengan lori dan mengalami kecederaan sehingga membawa maut,” katanya.

Sementara itu, di Sri Medan, seorang guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Putra, Tongkah Pechah, maut apabila skuter ditunggangnya berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail pagi ini.

Dalam kemalangan pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Khairina Badron, 23, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian berlaku di simpang tiga di Kilometer 14.5 Jalan Yong Peng-Muar yang disifatkan oleh pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Mohd. Fazree Mohd. Ariff sebagai ‘simpang maut’.

“Simpang itu terletak di jalan yang agak berbukit dan waktu kejadian, difahamkan kawasan itu agak berkabus.

“Mangsa yang keluar dari simpang dan menghala ke Batu Pahat telah dilanggar kenderaan pacuan empat roda yang sedang menuruni bukit,” katanya.

Beliau memberitahu, motosikal mangsa terseret sejauh kira-kira 30 meter akibat perlanggaran itu dan pemandu pacuan empat roda tersebut hanya mengalami kecederaan pada mata akibat terkena serpihan kaca.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: