Khairulrijal Sri Gading

Tagline : Malaysia Today / Malaysia Terkini / Utusan / Berita Hari Ini

Himpunan berita panas : 15 orang terapung di laut semalam 16 jam!

Posted by Emg Trading & Services on 8 November, 2010

KEMAMAN 7 Nov. – Jaket keselamatan serta pengalaman menyelam berjaya menyelamatkan 15 pelancong dan seorang tekong bot daripada mati lemas semasa bot mereka naiki karam pada kedudukan 10 batu nautika (18.5 kilometer) dari Pulau Tenggol, Dungun petang semalam.

Mereka termasuk seorang wanita hamil, Noraini Sosilawati Siregar Suffian, 30, dan anak lelakinya, Mohamad Daniel Aiman, 4, yang terpaksa terapung kira-kira 16 jam sambil berpaut sesama sendiri dalam kesejukan dan cemas dilambung ombak dalam kepekatan malam dan hujan lebat.

Mereka yang dilaporkan hilang lewat petang semalam akhirnya berjaya dikesan oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) berada pada kedudukan 16 batu nautika (29.6 kilometer) ke selatan pulau itu dan diselamatkan kira-kira pukul 10 pagi ini.

Kejadian penuh dramatik itu bermula kira-kira pukul 6.30 petang ketika ribut dan hujan lebat, selepas 20 minit bot mereka bertolak dari Pulau Tenggol menuju ke Kuala Dungun untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Tekong bot, Mohd. Zulfadli Yahya, 29, menyedari bot yang mereka naiki itu bocor selain mengalami kerosakan enjin.

Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila bot berkenaan dipenuhi air menyebabkan mereka semua memutuskan untuk terjun ke dalam laut dan berpaut dalam satu kumpulan sebelum bot itu tenggelam dalam tempoh tidak sampai 10 saat.

Mohamad Daniel yang terkapai-kapai terpaksa dipegang dan disambut secara bergilir-gilir di kalangan mangsa bagi menyelamatkannya daripada lemas.

Mangsa yang terdiri daripada sembilan lelaki, enam wanita serta seorang budak lelaki. Mereka ialah Salman Mohd. Kassim, 42; Muhamad Aman Muhami, 36; Azhar Ahmad, 45; Mazli Abd. Malik, 33; Mohd. Zulkifli Mat Daud, 33; Loo Kit Choong, 54; dan Badrulhisham Shariman, 40.

Lain-lain mangsa ialah Ayud Haida Sulaiman, 35; Dr. Anis Shafina Mahfuz, 29; Noraini Sosilawati, Norazimimah Abdul serta dua lagi yang hanya dikenali sebagai Maria dan Aida.

Mereka merupakan pelancong dari Kuala Lumpur yang bergerak dalam beberapa kumpulan ke Pulau Tenggol pada Jumaat lalu untuk mengikuti aktiviti menyelam skuba sebelum dijadual pulang petang semalam.

Komander PGM Wilayah Timur, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Mat Jani berkata, dalam kejadian itu, tiga daripada mangsa mengalami kecederaan kritikal termasuk dua beranak iaitu, Noraini Sosilawati dan Mohamad Daniel Aiman.

“Ketika ditemui, kesemua mangsa berada dalam satu kumpulan sambil berpaut dan terapung di tengah-tengah laut dan mereka berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke jeti Pangkalan PGM di Kemaman kira-kira pukul 11.15 pagi ini,” katanya kepada pemberita di pangkalan itu hari ini.

Beliau memberitahu, sejurus tiba di pangkalan itu, kesemua mangsa diberi rawatan serta merta sebelum dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Mohd. Salleh berkata, sebelum kejadian itu berlaku, kesemua mangsa dilaporkan mengunjungi Pulau Tenggol secara berasingan sebelum membuat keputusan untuk pulang serentak dengan menaiki sebuah bot jenis D-Guardian (Catamaran) TKT 00467 P yang berukuran 27 meter panjang.

Katanya, sejurus pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira pukul 8.10 malam tadi mengenai kejadian itu, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan segera oleh pasukan PGM, Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat selain menggunakan sebuah helikopter.

“Sehinggalah ditemui, kesemua mereka selamat. Mujurlah mangsa memakai jaket keselamatan selain tenang, berpaut sesama mereka di tengah laut sebelum diselamatkan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjalankan operasi menyelamat kerana mereka telah bertindak dengan pantas dan berkesan sehingga semua nyawa dapat diselamat.  Sumber – Tajuk asal: 16 jam terapung di laut – UTUSAN

 

Berzikir berpegangan tangan dalam bulatan

KEMAMAN: Hanya zikir dan doa mengingat Allah SWT meniti di bibir 15 daripada 16 mangsa yang menganggap mereka ibarat mati hidup semula apabila terselamat selepas terapung kira-kira 16 jam sebaik bot dinaiki karam dipercayai bocor di bahagian enjin, kira-kira 6.30 petang kelmarin.

Kejadian membabitkan bot jenis katamaran yang ketika itu dalam perjalanan membawa 15 pelancong dalam perjalanan pulang ke jeti Kuala Dungun selepas melakukan aktiviti selam di Pulau Tenggol. Sepanjang terapung di laut, semua mangsa mendakwa melihat kelibat bot lain tetapi tidak mengendahkan mereka sehinggalah seorang daripada mereka iaitu Loo Kit Choong, 54, bertindak berani membuka jaket keselamatannya.

Loo terpaksa memperjudikan nyawanya kerana ketika itu hanya dia masih bertenaga dan melambungkan jaket keselamatan sebelum objek itu dilihat anggota Pasukan Gerakan Marin yang kemudian segera menyelamatkan mereka. Selain itu, penyelam, Badrulhisham Shariman, 40, turut menggunakan segala kudrat yang ada untuk memastikan mereka mengikut arus dengan menguak kakinya kerana ketika kejadian hanya dia masih memakai ‘flipper’.

Semua mangsa dikatakan berada dalam kumpulan dan memegang erat antara satu dengan lain dalam satu bulatan sambil berzikir dan melambung-lambungkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang turut terapung bersama mereka. Semua 16 mangsa dilaporkan hilang ditemui terapung kira-kira 16 batu nautika dari lokasi mereka dilaporkan hilang iaitu lapan batu nautika dari Pulau Tenggol, semalam.

Sementara itu, pemandu bot berkenaan, Zul Fadhly Yahya, 29, berkata bot yang dikemudinya itu tiba-tiba menjadi perlahan pada jarak kira-kira lapan batu nautika dari Jeti Kuala Dungun. “Apabila toleh ke belakang saya nampak enjin bot hampir tenggelam dan air mula memasuki badan bot,” katanya di Jeti Marin Wilayah Timur di sini, semalam.Menurutnya, dia mengambil keputusan berpatah-balik ke Pulau Tenggol namun botmenjadi semakin perlahan dan apabila air semakin banyak memasuki badan bot, dia mengarahkan semua penumpangnya terjun dari bot. Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain.

“Waktu itu bot sudah senget. Saya risau jika mereka tidak terjun, mereka akan tenggelam bersama bot,” katanya. Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot berkenaan tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain. Sumber – Hmetro : Berzikir berpegangan tangan dalam bulatan.
16 jam terapung

Selain menahan kesejukan dan kelaparan, keadaan hujan pada waktu malam menyebabkan mereka ketakutan dilanggar bot dan kapal yang tidak melihat kehadiran mereka di situ.

 

16 jam terapung!

Lebih membimbangkan mereka apabila mahu memastikan anggota termuda, Mohd Danial Aiman, 4, dan ibunya yang sedang mengandung empat bulan, Noraini Sosilawati Sarigar, 30, selamat dan tidak terpisah daripada kumpulan itu.

Berikutan itu, semua mereka yang memakai jaket keselamatan membuat formasi bulatan dengan berpegangan tangan antara satu sama lain.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Zulkifli Mat Daud, 33, berkata kejadian itu paling menakutkan dalam hidupnya tetapi mereka tidak panik kerana memahami cara yang perlu dilakukan ketika berada di laut kerana berpengalaman luas sebagai penyelam.

Katanya, ketika ditemui di Hospital Kemaman  semalam, dia memegang Mohd Danial secara bergilir dengan rakan yang membuat formasi bulatan. Tidak banyak yang kami fikirkan ketika itu kecuali berselawat dan berserah kepada takdir.  Apabila bot penyelamat Pasukan Gerakan Marin (PGM) menemui mereka, beliau berasa seperti mati hidup semula.

Mangsa lain dalam bot karam itu ialah Sany Salman Mohd Kasim, 42; Muhammad Aman Muhani, 36; Azhar Ahmad, 45; Mazli Abdul Malik, 33; Loo Kit Choon, 54; Mohd Azharil Mohd Amin, 38; Badrul Hisham Shariman, 40, dan jurumudi bot, Zulfadly Yahya, 29.

Pelancong wanita pula ialah Ayud Aida Sulaiman, 34; Dr Anis Shafina Mahfudz, 29; Dr Noraminah Abdullah, 29; serta dua lagi yang hanya dikenali sebagai Maria dan Aida.  Zulfadly berkata, sebaik menyedari bot akan karam, beliau menyuruh semua penumpang yang lengkap memakai jaket keselamatan terjun untuk mengelak kejadian lebih buruk.

Selepas itu mereka cuba berenang semula ke pulau tetapi gagal akibat ombak kuat. Apa yang boleh dilakukan ialah memastikan mereka tidak berpecah dan berada dalam kumpulan untuk memudahkan pihak berkenaan mengesan mereka.

Menceritakan kembali kejadian bot itu karam jam 6.45 petang kelmarin, Zulfadly yang sudah 11 tahun bekerja sebagai jurumudi bot, berkata bot jenis D-Guardian Katamaran itu mengalami kerosakan enjin selepas mengambil pelancong dari Pulau Tenggol.

Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: