Khairulrijal Sri Gading

Tagline : Malaysia Today / Malaysia Terkini / Utusan / Berita Hari Ini

TAHUN BARU 2011 : Bolehkah mengadakan sambutan tahun baru?

Posted by Emg Trading & Services on 1 January, 2011

Hari ini disambut tahun baru 2011 di negara kita.. malam tadi ia disambut semacam pesta disetiap ceruk rantau pekan, dan bandar. Jadi, mari kita tingkat p kesedaran kita dari sudut pandang Islam tntg perkara ini. Boleh atau tidak? sudahkah kita merujuk kepada ahli agama? Saya telah menjumpai kupasan menarik tentang isu ini oleh Kementerian Hal Ehwal Agama Negara Brunei Darus Salam, ia merupakan sebuah khutbah Jumaat, elok kita selusuri artikel berikut, moga kita dapat manfaatnya ;

MERAIKAN TAHUN BARU MASIHI BUKAN BUDAYA ORANG ISLAM
Kategori : jumaat (24-Dec-2010) 

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum dan sebagainya. Allah Subahanahu Wata’ala berfirman dalam surah Al-Imran ayat 14 tafsirnya:

“Dihiaskan (dijadikan indah) bagi manusia kecintaan kepada keinginan-keinginan nafsu iaitu menyukainya perempuan, anak pinak dan harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda pilihan lagi terlatih serta binatang-binatang ternakan dan tanaman-tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Padahal disisi Allah ada sebaik-baik tempat kembali iaitu syurga”

Akan tetapi, sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti ketika mencari hiburan. Al-Qur’an telah mengingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang hina, sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata’ala dalam surah Lukman ayat 6 tafsirnya:

“Dan ada di antara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan dirinya dan orang ramai dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekkan, merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”

Hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara perkara yang menjadi kesukaan orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subahanahu Wata’ala dalam surah Al-‘Araf ayat 51 tafsirnya:

“Orang-orang kafir itu ialah orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)”

Hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan munkar yang terang-terang menentang kehendak hukum syarak. Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur munkar dan maksiat itu, contohnya pesta-pesta hiburan yang diadakan seperti sempena menyambut tahun baru masihi dan sebagainya.

Tidak dinafikan bahawa tahun masihi dijadikan tarikh utama di dalam kalendar masyarakat antarabangsa. Pada setiap tahun menjelang hendak masuk tahun baru masihi, berbagai acara sambutan secara besar-besaran diadakan oleh orang bukan Islam bagi meraikan dan membesarkan hari tersebut. Tetapi akhir-akhir ini telah didapati sesetengah masyarakat Islam juga turut meraikan awal tahun baru masihi dengan sambutan sebagaimana orang bukan Islam meraikannya.

Sebenarnya menyambut awal tahun baru masihi bukanlah budaya orang-orang Islam, dan ia bukanlah salah satu dari hari-hari kebesaran Islam sebagaimana orang-orang Islam menyambut awal tahun hijrah, Hari Maulidur Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam, Isra’ dan Mi’raj, puasa Ramadhan, Nuzul Al-Qur’an, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Awal tahun baru masihi hanya perayaan yang sering diraikan oleh orang bukan Islam di negara-negara barat. Ramai orang meniru perayaan itu sehingga ia berleluasa hingga ke negara-negara lain seluruh dunia. Perayaan itu turut menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam samada secara mereka sendiri atau tidak, dan jika orang Islam kurang pengetahuan agama dan leka dengan penyelinapan ini, maka sudah setentunya ia akan menjadikan satu budaya yang diamalkan oleh umat Islam sampai bila-bila. Malahan jika perkara ini dilepas pandang, ia akan semakin berakhir umbi dalam masyarakat Islam.

Bermacam-macam acara sering diadakan untuk memeriahkan kedatangan tahun baru itu. Pada malam 1 Januari, pelbagai pesta dibuat seperti pesta makan minum, diiringi dengan nyanyian, tarian dan lain-lain acara sementara menanti acara kemuncak iaitu pengiraan detik tahun baru. Apabila jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam, maka kedengaranlah teriakan dan sorak surai orang ramai tanda tahun baru sudah menjelma.

Dalam pesta yang diadakan itu, sudah setentunya banyak perkara negatif berlaku, antaranya percampuran di antara lelaki dan perempuan, terdapat bentuk hiburan yang dilarang oleh Islam dan yang tidak bersesuaian dengan akhlak Islam. Perkara-perkara yang disebutkan itu sangatlah bertentangan dengan kemuliaan Islam.

Daripada penjelasan ini, nyatalah umat Islam tidak ada kaitan langsung dengan sambutan dan perayaan seumpama itu iaitu mengalu-alukan dan membesar-besarkan kedatangan awal tahun masihi tersebut. Lebih-lebih lagi jika ia bercorak keagamaan lain daripada Islam. Oleh itu, orang Islam tidak boleh turut sama membesarkan awal tahun masihi seperti orang bukan Islam membesarkannya, kerana yang demikian itu dikhuatiri akan membawa tasyabuh (penyerupaan) terhadap mereka yang bukan beragama Islam sama ada di dalam budaya, tujuan dan akidah mereka. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda:

“Dari Ibni Umar Radiallahu Anhuma ia berkata, telah bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah sorang dari kalangan mereka” (Riwayat Al-Imam Abu Daud) 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Akidah adalah perkara yang sangat penting dalam agama Islam yang mesti dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya oleh semua umat Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita janganlah terikut-ikut kepada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah kita. Kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah Subahanahu Wata’ala.

Adapun kemurkaan Allah Subahanahu Wata’ala itu boleh mendatangkan bala bencana dan mala petaka dalam berbagai bentuk seperti bala bencana yang berupa hujan, banjir, tanah susur, ribut taufan dan sebagainya.

Bala bencana yang diturunkan adalah sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Subahanahu Wata’ala dengan tujuan sebagai ujian dan peringatan kepada hamba-hambanya khususnya yang derhaka dan ingkar terhadap perintah dan larangan Allah Subahanahu Wata’ala.

Sesungguhnya bala bencana dan mala petaka tidak semestinya ditimpakan ke atas orang yang derhaka dan berdosa, tetapi orang awam juga akan terlibat sama menerimanya jika orang awam itu tidak berusaha untuk membenteras perbuatan-perbuatan maksiat tersebut, sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dalam sebuah hadith maksudnya:

“Daripada Adis bin Hatim ia berkata: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang ramai (orang awam) dengan perbuatan orang-orang yang sedikit sehingga orang ramai tadi melihat kemunkaran dihadapan mata mereka dan mereka berkuasa untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Sekiranya mereka berbuat demikian, maka Allah akan menurunkan azabnya kepada orang-orang yang sedikit tadi dan orang ramai (orang awam)”

Oleh yang demikian wahai kaum muslimin, sama-samalah kita muhasabah diri, menjauhi segala bentuk maksiat dan kemunkaran serta berusaha mencegahnya agar kita semua terhindar dari kemurkaan Allah Subahanahu Wata’ala.

Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah Subahanahu Wata’ala disetiap waktu dan ketika, walau di mana kita berada iaitu dengan memperbanyakkan doa dan zikir seperti membaca Al-Qur’an, bertasbih, bertahmid, bertakbir, membaca ratib Al-Attas dan sebagainya kerana Dia dan zikir itu adalah senjata orang mukmin. Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata’ala akan memberikan keamanan dan kesejahteraan kepada mereka yang banyak berzikir (ingat) kepada-Nya.

Oleh itu, janganlah kita terikut-ikut dengan budaya orang bukan Islam dengan meraikan apa jua perayaan dalam bentuk pesta dan hiburan yang membawa kepada perkara-perkara maksiat dan munkar. Akhirnya marilah kita muhasabah diri dengan meningkatkan keimanan iaitu dengan melakukan segala perintah Allah Subahanahu Wata’ala dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan dengan demikian kita semua terhindar dan terselamat dari kemurkaan dan segala segala bala bencana. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 120 tafsirnya:

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha (setuju dan suka) kepadamu (wahai Nabi Muhammad) sehingga engkau mengikut agama mereka. Katakanlah kepada mereka: “Sesungguhnya hidayah petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan sesungguhnya jika engkau mengikut kemahuan mereka setelah datangnya wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu mengenai kebenaran, tidak lagi akan menjadi pelindung dan penolong bagimu”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: