15 Februari 2011 adalah sejarah hitam bagi keluarga Norihan Mohd Syarif. Anak lelaki sulungnya, Mohd Zulhairi Noraihan, 18, terpaksa dilepaskan dari bantuan “life suport” di ICU Hospital Queen Elizabeth yang menamat riwayatnya.
Saya sebagai salah seorang ahli keluarga terdekat, menunggu di KLIA untuk menguruskan jenazah.
Birokrasi di Airport
Kerenah dan birokrasi di MASkargo di’telan’ begitu sahaja mengenangkan banyak lagi perkara penting perlu diutamakan. Bayangkan jenazah sudah kelihatan di depan mata, sekitar jam 8.30 malam, tapi ia tidak boleh dikeluarkan sehingga memenuhi beberapa prosedur dokumentasi yang menjengkilkan. Di maskargo, kemudian ke bahagian kesihatan dan kemudian di KASTAM. Juga sepatutnya ke balai polis Sepang, semuanya mencengkam urusan masa.
Dalam minda kami, soalan paling ketara, mengapa selepas ‘koma’ baru pihak ayahnya dimaklumkan. Mengapa tidak dimaklumkan semasa lebih awal semasa anaknya dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad di Hospital Papar? Sebagai bapa, adakah anda berasa adil apabila dimaklumkan anak anda telah dimasukkan di hospital 3 hari lalu, telah koma dan sudah tidak ada harapan hidup, malah bergantung penuh kepada ‘life-support’ untuk terus hidup? Anda juga diberi pilihan untuk melepaskan ‘life-support’ kerana anak ini sudah tidak ada harapan? adakah ini adil?
Lewat maklum
Bagi pihak penulis sendiri, adalah tidak munasabah untuk mana-mana pihak terbabit tidak kira pihak PLKN, pihak hospital Queen Elizabeth mahupun pihak hospital Papar untuk melengahkan makluman kepada ibubapa lebih daripada 24 jam tentang perkembangan anak mereka mereka walaupun sekadar jatuh longkang dan perlu ditahan di wad. Inikan pula ditahan wad disebabkan demam yang berpanjangan.
Senario tentang tragedi kematian pelatih di PLKN bukan baru, kini ia melanda keluarga terdekat memberi kesan langsung kepada kami semua.
Rajin
Anak ini, Zul atau nama sebenarnya Mohd Zulhairi Noraihan adalah pangkat anak buah (sebutan biasa bagi kita orang Melayu), ini kerana ibu Norihan adalah kakak kepada ibu saya, maka saya mendapat gelaran “pak long” mandat diterima sebagai anak sulung dlm keluarga. Kini panggilan ini menjadi kenangan.
Kedudukannya sebagai anak lelaki sulung terserlah apabila ia menunjukkan sifat taat dan ringan tulang. Semasa majlis pernikahan salah seorang sepupu kami di Taman Maju, Jasin, beliau “mengepalai” anak-anak buah yang senior mengerah tulang 4 kerat mencuci pinggan mangkuk dan periuk belanga. Tidak perlu disuruh atau diselia, tahulah dia mengendalikannya.
Akademik yang cemerlang
Pencapaian akademiknya yang cemerlang juga menambahkan parah di hati keluarga, arwah seorang anak yang pintar. UPSR beliau mendapat 5A, PMR = 8A, 1B (Arab), dan kini sedang menunggu keputusan SPM dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar (dikenali sebagai SBPIS dan SISME) adalah merupakan satu-satunya sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI) dan salah satu daripada (2) dua buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negeri Melaka.
Sehingga kini, kami tidak mempunyai sumber yang lengkap tentang kronologi kejadian yang menimpa Zulhari. Setelah membelek laman web, penulis mempunyai info baru tentang kejadian ini. Itu pun melalui web freemalaysiatoday.com tulisan Michael Kaung. Selain daripada itu, kisah ini hanya terpapar di akhbar berita harian, 16 Februari 2011.
Selain itu, timbul juga persoalan. Mengapa pelatih PLKN di Selongor perlu dihantar sehingga ke Sabah? tidak bolehkah ia dihantar sekitar Semenajung Malaysia? Ia lebih memudahkan ibubapa dan waris memantau jika berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada para pelatih PLKN.
Artikel Berita – Tajuk Maut jangkitan kuman.
Pelatih PLKN meninggal dunia akibat kecuaian (oleh freemalaysiatoday.com)
Akibat kelalaian dan sikap sambil lewa pihak hospital seorang pelatih PLKN meninggal dunia.
KOTA KINABALU: Seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Wawasan Ovai, Papar dekat sini meninggal dunia pagi kelmarin didakwa akibat kelalaian dan sikap sambil lewa pihak hospital yang merawatnya.
Mohd Zulhairi Noraihan, 18, berasal dari Melaka dan kini menetap bersama keluarganya di Cheras, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi kelmarin (Feb 15) di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini selepas dikatakan menerima rawatan di Hospital Papar.
“Zuhairi mula demam sejak minggu lepas dan pergi meminta rawatan di pusat perubatan kem sebelum diberikan ubat demam.
“Bagaimanapun, demam dia (Zuhairi) bertambah teruk pada Jumaat minggu lepas dan telah pergi ke pusat perubatan untuk kali kedua lalu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan oleh petugas pusat perubatan kem,” menurut sumber dari Kem Wawasan Ovai, Papar.
Menurutnya, ketika berada di hospital, Zuhaili hanya dirawat oleh pembantu perubatan malah ubat diberi selepas pembantu perubatan itu menerima arahan daripada doktor melalui telefon.
“Pembantu perubatan itu juga hanya berhubung dengan doktor melalui telefon untuk meminta arahan ubat jenis apa yang sesuai diberikan dan akhirnya Zuhaili diberi ubat tahan sakit.
“Pada masa itu, keadaan Zuhairi juga agak kritikal dengan keadaan mata dan kakinya yang bengkak,” katanya menambah Zuhairi bersama dengan jurulatih yang membawanya ke hospital balik semula ke kem selepas diberi ubat tersebut.
Mengadu sakit
Pada sebelah malam, Zuhairi sekali lagi mengadu dia sakit dan mendakwa telah salah diberikan ubat kerana keadaannya semakin teruk tetapi pusat perubatan kem tidak berbuat apa-apa termasuk menghantarnya semula ke hospital.
“Zuhaili hanya dibawa ke hospital Papar pada keesokkan harinya itu pun oleh jurulatih yang bertugas kerana pusat perubatan kem tidak beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad,” tegasnya.
Katanya lagi, setibanya di hospital Papar, Zuhairi telah dirawat di unit kecemasan dan ditahan di wad biasa selepas itu.
“Sepanjang tempoh dia ditahan juga, agak jarang doktor yang datang menjenguknya sedangkan keadaan fizikalnya berubah dan semakin teruk,” dakwanya lagi.
Zuhairi yang dikatakan semakin kritikal kemudiannya dipindahkan ke QEH di sini untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Ahad lepas.
Ibu bapa Zuhairi yang dimaklumkan mengenai kejadian itu juga dikatakan tiba di ibu negeri pada hari yang sama untuk melihat anak mereka.
Bagaimanapun, Zuhairi disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital kira-kira jam 11 pagi kelmarin dan mayatnya juga telah diterbangkan menggunakan pesawat ke Kuala Lumpur untuk dikebumikan di kampung halamannya.
“Apa yang saya ingin persoalkan di sini ialah tindakan pihak hospital yang hanya memberi ubat tahan sakit ketika kali pertama dia (Zuhaili) meminta rawatan di hospital dan ubat tersebut juga diberi selepas menerima arahan melalui telefon daripada seorang doktor.
“Mungkin perkara sedih ini dapat dielakkan jika pihak tertentu termasuk pihak hospital tidak mengambil sikap sambil lewa,” ujarnya.
<!–This entry was posted on February 16, 2011 at 5:29 pm and is filed under Bahasa, FrontPage, Nation. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed.
–>
1.861021
103.046340